Isnin, 2 Mei 2011

Krisis Libya: Gaddafi Selamat, Anak & Cucu Maut

 

TRIPOLI 1 Mei - Anak lelaki bongsu Muammar Gaddafi dan tiga cucunya terbunuh dalam satu serangan udara yang dilancarkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di ibu negara Libya ini, malam tadi.

Serangan tersebut yang disasarkan untuk membunuh Gaddafi dilancarkan selepas pemberontak dan NATO menolak tawaran pemimpin veteran Libya itu untuk berunding bagi menamatkan krisis di negara ini.


Rumah Seif al-Arab Gaddafi (gambar) , 29, diserang malam tadi dengan seluruh kekuatan, kata jurucakap kerajaan, Moussa Ibrahim pada sidang media, hari ini.


Pemimpin Libya itu dan isterinya turut berada di dalam bangunan yang dibedil tetapi mereka terselamat, walaupun yang lain terbunuh atau cedera termasuk Seif al-Arab dalam 'operasi langsung untuk membunuh pemimpin negara ini', kata Ibrahim.


"Pemimpin kami dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, begitu juga dengan isterinya tetapi orang lain terbunuh atau cedera," katanya.


Ibrahim mendakwa maklumat mengenai lokasi Gaddafi berada dipercayai telah dibocorkan.


NATO mengakui melancarkan serangan udara di Tripoli tetapi tidak mengesahkan dakwaan kerajaan Libya itu.


"NATO meneruskan serangan ke atas kedudukan tentera rejim Gaddafi di Tripoli malam tadi, termasuk serangan ke atas sebuah bangunan yang diketahui menjadi pusat pemerintah dan kawalan di pekarangan Bab al-Aziziya selepas 1800 GMT (2 pagi ini waktu Malaysia)," menurut kenyataan NATO.


Bunyi tembakan senjata automatik, dipercayai sebagai tanda berkabung, bergema di seluruh Tripoli berikutan pengumuman mengenai kematian Seif al-Arab itu.


Pemberontak pula melepaskan tembakan roket, raifal Kalashnikov dan mesingan antipesawat udara selama lebih setengah jam, menggegarkan ibu kota yang dikuasai pemberontak di Benghazi dengan tembakan dan letupan berterusan untuk meraikan detik itu. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan