Rabu, 22 September 2010

7 Panduan Mengisi Borang Permohonan SPA8i

Borang SPA8i adalah borang permohonan perjawatan dalam kerajaan yang menggantikan penggunaan borang SPA8 yang diagihkan secara manual sebelum ini. Bermula tahun 2009, calon calon yang ingin memohon pelbagai jawatan dalam kerajaan tidak perlu menunggu sehingga keluarnya iklan di dada akhbar utama tetapi boleh mengisi secara dalam talian sepanjang tahun.

Berikut adalah panduan kepada calon calon yang berminat untuk mengisi borang SPA8i (boleh didapati di laman web Suruhanja Perkhidmatan Awam di sini):

1. Sebagaimana borang borang rasmi yang lain, segala maklumat yang diisi oleh pemohon hendaklah maklumat maklumat yang benar sahaja dan mereka yang mengemukakan maklumat palsu dan mengelirukan akan disenaraihitamkan, malah boleh diambil tindakan undang undang.

2. Setiap pemohon boleh memohon sehingga maksimum lima jawatan sahaja dalam satu borang permohonan. Permohonan (yang lengkap diisi) akan diproses secara berkomputer dan satu surat (dipanggil Surat Akuan Pendaftaran) akan dikeluarkan setelah proses permohonan siap. Calon yang membuat permohonan secara talian boleh menyemak status pendaftaran mereka selepas 3 hari bekerja (dengan memasukkan no. kad pengenalan).

3. Setiap permohonan hendaklah dibuat berdasarkan kelayakan akademik tertinggi pemohon (samaada Ijazah/Sarjana/PhD, Ijazah & Diploma atau Ijazah & STPM, Diploma/Sijil, STPM/HSC, SPM/PMR/Separa Perubatan atau berkhidmat/KPSL. Setiap kelayakan mempunyai kategori berlainan dan datang dengan borang borang tersendiri.

4. Maklumat maklumat utama yang seperti pusat temu duga, negeri tempat lahir, taraf perkahwinan, keturunan dan alamat surat menyurat hendaklah diisi dengan lengkap.

5. Jika berjaya dipanggil untuk pusingan kelayakan yang seterusnya seperti peperiksaan dan temuduga, anda akan dihubungi oleh pihak SPA untuk menghadiri peperiksaan atau temuduga tersebut seperti yang dikehendaki. Bawa bersama segala dokumen yang diperlukan sewaktu menghadiri peperiksaan/temuduga untuk mengelakkan diri daripada dihalang meneruskan peperiksaan/temuduga.

6. Permohonan calon laku sehingga 1 tahun selepas pendaftaran. Sekiranya pemohon gagal mendapat maklum balas atau tidak berjaya dalam proses permohonan, mereka boleh mendaftar sekali lagi dan mengulangi proses permohonan secara talian di laman web SPA. Ini bermakna, pemohon hanya perlu menghantar permohonan sekali sahaja dalam masa satu tahun. Dalam sesi temuduga, anda juga perlu membawa resume bergambar untuk tujuan tersebut.

7. Sukatan peperiksaan adalah relevan dan bergantung kepada jawatan yang dipohon oleh calon. Calon calon hendaklah membuat persediaan yang sewajarnya sebelum menghadiri peperiksaan untuk meningkatkan peluang calon untuk lulus dan melayakkan diri ke peringkat yang seterusnya.

Jika pemohon mempunyai keraguan dan perlukan pertolongan, mereka boleh menghubungi pihak SPA menerusi borang e-pertanyaan yang disediakan dalam portal SPA.

2 ulasan:

  1. mcm mne nk isi kelulusan peringkat ijazah?? contoh bahagian PNGK tu, nk isi yg aras rendah aras tinggi ke or ikut dekat sijil. my email susanosasuke01@gmail.com

    BalasPadam